AZMAN YAHAYA

Monday, July 26, 2010

Salam dan Pesan Untuk Anak-anak ku

Buat Qistina Qaidah Azman, Isyraq Izzat Azman, Isyraf Imran Azman dan Izzul Idlan Azman

Salam buat anak-anakku yang tersayang,

Alhamdullillah sampai saat ini bertuah sungguh ayah rasa mempunyai anak-anak seperti kamu semua. Tak dapat ayah luahkan dengan kata-kata yang kamu semua anak-anak yang hebat. Tak sia-sia selama ini, setiap kali lepas solat lima waktu ayah berdoa agar dikurniakan anak-anak yang baik.

Walau pun masih ada kekurangan yang perlu diperbetulkan namun ayah anggap bukanlah perkara yang susah kerana kamu semua mudah untuk menerima teguran dan nasihat. Kadangkala juga ada perbezaan pendapat namun kita dapat selesaikan secara terbuka dan berlapang dada. Terima kasih semua anak-anakku.

Sudah jauh ayah berjalan meniti, menapak, melangkah malah berlari mengejar impian ayah untuk membina keluarga bahagia. Acapkali ayah terlajak dan tersasar melalui bebagai halangan namun ayah rempuh juga demi anak-anak ayah semua. Jiwa ayah menjadi kuat bila melihat anak-anak ayah semua yang sanggup bersama dalam segala keadaan. Terima kasih juga pada emak kamu yang tak pernah serik, lelah dan mengalah menjadi isteri ayah dan emak anak-anak ayah. Dengan penuh tanggungjawab dan taat setiap masa emak kamu bekerja keras memastikan kamu semua mempunyai apa saja yang diperlukan seharian.

Tiada hadiah yang paling beharga buat emak kamu selain cinta ayah dan kasih sayang dari kamu semuga dia terus berada dalam kesihatan yang baik. Hargailah pengorbanannya sampai bila-bila. Benar kata pepatah, “Syurga itu dibawah tapak kaki ibu”. Ayah memohon kepada anak-anak ayah semua andainya masa ayah sudah sampai, jagalah emak sebaik mungkin sebab jiwanya mudah tersentuh.

Jangan ragut hati emak yang redha kerana bila hati emak disakiti hidup tak akan diberkati sehingga emak berkata ‘Aku memaafkan’. Kasih ibu membawa kesyurga, kasih ayah berkorban nyawa.

Anak-anakku,

Bukan mudah menjadi ayah kalau tiada jiwa yang kental dan hati yang tayah. Menjadi ayah bukan sekadar menyediakan keperluan harian malah memastikan anak-anak ayah semua berada dilandasan yang betul dan diberkati Allah.

Ayah tahu betapa sakitnya rotan kena dikaki sakit lagi hati didalam. Ayah mohon maaf sekali lagi dari hati yang tulus agar jiwa ayah bebas dari kepedihan itu.

Kini anak-anak ayah sudah besar dan sudah boleh membuat keputusan sendiri. Rasa macam tak percaya yang ayah sudah ada anak-anak yang remaja. Cepat betul masa berlalu, rasa baru semalam anak-anak ayah bertungkus lumus belajar ketika ayah jauh diperantauan. Belum puas bermain dengan anak-anak ayah untuk menebus kembali hari-hari yang ayah berjauhan dari anak-anak ayah.

Ayah terpaksa berjauhan demi memenuhi tuntutan hidup dalam mencari rezeki. Tugas yang ayah sandang memaksa ayah berada jauh dari kamu semua. Ayah rasa kagum dengan emak kamu kerana dapat melakukan tugas sebagai emak dan ayah sekaligus malah dalam kesunyian tanpa ayah disisinya dia tetap tayah. Walau pun berada jauh dari kamu semua, belum pernah satu malam pun ayah tak talipon mak kamu bertanyakan keadaan anak-anak ayah semua. Ayah nak pastikan yang anak-anak ayah sentiasa berada dalam situasi yang baik dan sentiasa terurus disamping itu dapat juga ayah melepaskan rindu pada emak kamu. Apa lagi yang ayah patut lakukan untuk menebus kesemua itu, tak lain hanya memastikan anak-anak ayah semua sentiasa yang terbaik.

Hari ini ayah menoleh kembali perjalanan yang pernah ayah lalui untuk sampai ketahap apa kita ada sekarang amat menginsafkan ayah sebagai insan makhluk Allah. Melalui perjalanan berliku, mendaki dan apa saja yang ayah tempuhi bukan suatu yang mudah, hampir saja ayah putus asa kerana kepayahan dan kegetiran yang datang namun bila mengingatkan anak-anak ayah semua jiwa ayah jadi kuat dan degil. Bak kata pepatah “dimana ada kemahuan disitu ada jalan”, sungguh, yang penting yakin pada diri yang mana usaha tak kenal putus asa mencapai kejayaan. Ayah tak mahu anak-anak ayah dalam kesusahan macam ayah dahulu segala-gala atas nasib. Apa yang ayah mahu anak-anak ayah belajarlah semampu yang boleh dan capai kejayaan setinggi yang mampu supaya akan mudah melayari kehidupan yang bakal dilalui nanti.

Ingat tanpa ilmu kita akan sesat didunia ni dan tanpa amal kita akan sesat diakhirat jadi carilah kedua-duanya demi bekalan masa depan. Jangan lepas setiap saat dari mulut kamu ucapkan “Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil”. Inilah yang selalu ayah ucapkan bila ayah dalam kesusahan, keraguan dan kesedihan. Tanpa mereka berdua (atuk dan uwan) ayah tiada didunia ini.

Walau ayah melalui pengalaman pahit tapi ayah bangga dengan mereka kerana mengajar ayah hidup dengan lebih bermakna. Apa yang dapat ayah lakukan demi membalas jasa mereka dengan sentiasa berdoa semuga berada bersama para solihin.

Sebenarnya dalam setiap tapak kita melangkah kita akan diuji dengan ujian yang bergantung dengan kemampuan. Allah itu adil kepada hambanya. Jangan kalah malah hadapi dengan hati yang tawadduk semuga keimanan kita bertambah. Mungkin ayah inginkan yang terbaik untuk anak-anak ayah semua. Ayah sanggup lakukan apa saja demi kejayaan hidup anak-anak. Itu sebab ayah kerap bertanya status pelajaran anak-anak ayah. Susah payah kita bersama Alhamdullillah sudah menampakkan hasil yang ayah idamkan. Tahniah anak-anakku.

Wahai anak-anakku,

Ayah ingin berpesan sebagai muslim sejati jangan lupa solat. Sebagus mana kita, setinggi mana pun kita berada, sekaya mana sekali pun malah siapa pun kita tak SOLAT tak bemakna hidup ini. Maka sia-sia saja apa yang kita lakukan selama ini. Solat itu tiang pada kehidupan. Ia berhubung kait dengan yang telah pergi. Maksud ayah anak yang soleh akan memudahkan kehidupan ibubapa yang telah pergi buat selamanya dan dia akan mendapat rahmah dari Allah selagi solatnya dipelihara. Bila solat kita tak tinggal secara otomatik yang lain akan kita turut dengan mudah. Itu sebab ayah kata solat itu penting.

Alhamdullillah ayah harap semua masih memelihara solat. Ayah cukup bangga punya anak-anak yang taat perintah Allah. Usia ayah dah sampai ke penghujung, harapan apa yang ayah bekalkan kepada anak-anak ayah semua peliharalah sebaik mungkin supaya tak sesat kejalan pulang nanti. Ingatllah dimana saja ayah berada belum pernah sesaat pun ayah lupa siapa anak-anak ayah. Ayah terlalu sayangkan anak-anak ayah semua, andai nyawa sebagai taruhan ayah sanggup melakukannya. Sentiasalah berbaik-baik antara kamu adik beradik, bantu membantu dan hormat menghormati supaya ikatan yang ada tetap kekal sampai bila-bila.

Akhirkata ayah memohon dari hati yang tulus sejuta kemaafan andai ada perkara yang membuat anak-anak ayah terasa atau yang membuat anak-anak ayah marah pada ayah. Bagi ayah memaafkan sentiasa ada dalam diri ayah untuk anak-anaknya. Bukan ke kemaafan suatu dendam yang terindah.

Salam sayang buat semua.